JOHOR BHARU: Sebuah kawasan penyimpanan lori dan minyak enjin di Jalan Cenderai 27, Taman Kota Puteri, Masai di sini musnah kira-kira 60 peratus dalam kebakaran tengah hari tadi.
Tinjauan Bernama mendapati kebakaran itu menyebabkan kepulan asap hitam tebal setinggi 100 meter dan jelas kelihatan sejauh lebih lima kilometer di Lebuhraya Eastern Dispersal Link (EDL) dan beberapa letupan turut kedengaran sehingga menimbulkan kerisauan penduduk.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, mereka menerima panggilan kecemasan pada 12.54 tengah hari dan jentera pertama tiba di lokasi pada 1.06 tengah hari.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan kawasan penyimpanan lori dan minyak enjin lori.
“Anggaran awal kemusnahan akibat kebakaran sebanyak 60 peratus. Keadaan angin yang kuat mengakibatkan kebakaran merebak ke kawasan penyimpanan minyak terpakai yang tidak beroperasi,” menurut kenyataan itu.
Menurut bomba, tindakan awal memadam kebakaran menggunakan dua aliran sepanjang 1,200 kaki dengan dua pancutan dari jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, dua aliran 700 kaki dan satu pancutan dari jentera BBP Johor Jaya, serta satu aliran 600 kaki dan satu pancutan dari jentera PBS.
Bomba memaklumkan sumber air diperoleh daripada tangki jentera, tangki air serta pili bomba berhampiran dan sebanyak 14 tong buih turut digunakan dalam usaha pemadaman.
Seramai 34 anggota terlibat dalam operasi membabitkan keanggotaan dan aset dari BBP Pasir Gudang, Johor Jaya, Tebrau, Kota Tinggi, Larkin selain Pasukan Bomba Sukarela Mount Austin dan Ulu Tiram.
Setakat berita ini ditulis, operasi pemadaman masih berjalan dan tiada mangsa dilaporkan. – Harian Metro