Negara

Sembilan kapal misi kemanusiaan Gaza dijangka masuki zon merah esok

SERDANG: Kesemua sembilan kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) dijangka memasuki zon merah pada jam 5 petang waktu Malaysia, esok.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, semua kapal sudah bergerak pada kelajuan knot 4.00 dan memasuki 200 batu nautika dari perairan Pantai Gaza.

“Kapal Conscience mula bergerak pada jam 9.30 pagi tadi waktu Malaysia, dan lapan kapal yang lain bergerak pada jam 1 pagi.

“Ketua Delegasi Malaysia, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali melaporkan kesemua delegasi kapal sebulat suara untuk bertemu dalam satu garis masa dijangka di 150 batu nautika dan berkemungkinan berhadapan dengan penahanan rejim Zionis Israel,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat MyCARE di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.

Menurutnya, mengikut perkiraan dalam tempoh 48 jam akan datang, adalah waktu sangat kritikal kerana kebiasaannya tentera Israel akan membuat pintasan.

“Kita minta doa, minta diberi kekuatan kepada mereka (yang berada di atas) kapal dan Insya-Allah kalau Allah izin mereka dapat mendarat di Gaza,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli memohon rakyat Malaysia tidak mengira agama, warna kulit dan ideologi untuk bersama-sama memberikan sokongan terhadap Palestin.

“Ini adalah isu kemanusiaan dan sangat jelas badan antarabangsa mengisytiharkan ini genosid. Kita perlu bersatu hati atas nama kemanusiaan hentikan kekejaman jenayah kemanusiaan,” katanya.

Pelayaran FFC x TMTG merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan, selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza.

Seramai lapan delegasi Malaysia kini sedang belayar di atas Kapal Conscience dengan seorang lagi delegasi di atas kapal layar Umm Saad bagi misi FFC x TMTG.

Lapan delegasi Malaysia yang menaiki Kapal Conscience milik FFC itu terdiri daripada ketua misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, wartawan, Syafik Shukri Abdul Jalil, dua pensyarah iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.

Kapal terbesar Conscience membabitkan 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.

Delegasi Malaysia diketuai oleh MyCare, manakala seramai 93 peserta dari 22 negara berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 September lalu.

Secara keseluruhan misi ini membabitkan 150 peserta dari 25 negara termasuk sembilan delegasi Malaysia. – Metro



Related Posts