KOTA BAHRU: Polis Kelantan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi membantu memburu dua suspek yang melakukan serangan bom di Tak Bai, kelmarin.
Dua suspek itu dilaporkan melarikan diri ke Malaysia.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama erat dengan pihak berkuasa Thailand.
“Ia juga bagi membendung kegiatan lain yang tidak sah,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, pihak berkuasa Thailand memperketatkan kawalan di sepanjang Sungai Golok bagi mengelakkan dua suspek yang melakukan serangan dengan kereta dipasang bom di Tak Bai malam kelmarin melarikan diri ke Malaysia.
Jurucakap Markas Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4), Kolonel Kiattisak Neewong berkata, gerakan memburu kedua-dua suspek yang dipercayai terbabit dalam serangan itu dipergiatkan selepas pihaknya menerima arahan daripada Komander Tentera Bahagian Keempat Thailand, Leftenan Jeneral Paisan Nusang
“Beliau mengarahkan semua unit keselamatan bekerjasama dalam memantau laluan tertentu khususnya di sepanjang Sungai Golok di sempadan Thailand-Malaysia bagi mengelakkan suspek melarikan diri,” katanya. – Harian Metro