Negeri

Kekal tradisi beraya sekampung

KUALA TERENGGANU: Beraya sambil berkongsi rezeki. Itu dilakukan penduduk di Kampung Tanjung Sabtu di sini bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri.

Penduduk di kampung berkenaan menggunakan wang sendiri untuk menyediakan hidangan yang berkonsepkan ‘potluck’.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Sabtu, Mohd Fauzi Mustafa berkata, tradisi yang bermula sejak 2018 itu menyediakan lebih 40 menu termasuk nasi kebuli atau dikenali sebagai nasi buli bagi penduduk Terengganu, lemang periuk kera dan kambing bakar.

Katanya, penduduk biasanya menyenaraikan juadah yang ingin dibawa ke lokasi jamuan bagi mengelak pertindihan.

“Penduduk secara sukarela akan senaraikan menu mereka dan menyediakannya dengan mengeluarkan wang sendiri.

PENDUDUK Kampung Tanjung Sabtu menyediakan lebih 40 menu hidangan pada sambutan Majlis Hari Raya Aidilfitri di Kuala Nerus, Terengganu.

“Ini yang kita buat sejak 2018 dan penduduk di sini memberi kerjasama sepenuhnya setiap kali jamuan raya diadakan setiap tahun.

“Ia secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi silaturahim selain dapat berkongsi rezeki antara satu sama lain,” katanya.

PENDUDUK Kampung Tanjung Sabtu menyediakan lebih 40 menu hidangan pada sambutan Majlis Hari Raya Aidilfitri di Kuala Nerus, Terengganu.

Mohd Fauzi berkata, ketika ini, terdapat 300 keluarga yang tinggal di kampung berkenaan.

Katanya, tradisi sama akan diteruskan pada masa akan datang dalam usaha mengeratkan semangat perpaduan dan kerjasama penduduk di kampung ini. – Harian Metro

Related Posts