Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Bulan Muharam seolah-olah tidak lengkap tanpa kehadiran bubur asyura. Bubur asyura ialah bubur yang dibuat dengan pelbagai campuran ramuan pada 10 Muharram iaitu pada Hari Asyura. Ia juga dikenali sebagai sugha.
Terdapat dalam kalangan komuniti masyarakat setempat mengambil kesempatan pada Muharram ini untuk mengadakan aktiviti gotong-royong memasak bubur asyura.
Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim, malah dapat berkongsi rezeki bersama orang lain.
Malah, bergotong-royong memasak bubur asyura untuk diagih kepada golongan keluarga, fakir, miskin dan masyarakat setempat telah menjadi adat dan tradisi masyarakat Islam di negara ini.
Sementara itu, Pengerusi Surau Kampung Lot Seri Jaya, Batu 4 Binjai, Syed Mohamad Tuan Soh berkata, tradisi memasak bubur Asyura di kampung ini bermula sejak kampung ini ditubuhkan pada awal tahun 1973.

Menurutnya, walaupun kepimpinan kampung silih berganti, namum semangat bergotong-royong memasak bersama-sama dapat dijalankan bagi mengeratkan silaturahim sesama warga tanpa mengira fahaman politik.
“Alhamdulillah, hari ini kita memasak bubur Asyura sebanyak dua kawah dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Lot Seri Jaya dan kita akan agih kepada penduduk kampung,” katanya kepada Suara Timur di sini, hari ini.

Ujarnya, ramai dalam kalangan anak muda kini tidak kenal dan makan bubur Asyura. Mereka lebih mengenali makanan segera seperti pizza, burger dan ayam goreng yang terdapat di restoran makan segera.
“Mengapa ini berlaku? Soalnya. Ia mungkin disebabkan sesetengah kampung tidak lagi memasak bubur Asyura seperti yang pernah dilakukan oleh datuk nenek kita di zaman mereka dahulu,” katanya.
Syed Mohamad berkata, jika amalan memasak bubur Asyura tidak diteruskan, dibimbangi pada suatu hari nanti, generasi baharu tidak lagi mengenali dan merasai bubur asyura.
Program memasak bubur Asyura tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kawasan Air Putih, Mohd Hafiz Adam dan anggota polis dari Balai Polis Chukai, Kemaman. – Suara Timur