BANDAR PERMAISURI – Seorang pemandu bot yang terbabit dalam tragedi mengorbankan tiga penumpang
di Pulau Perhentian Sabtu lepas, direman selama tiga hari bermula pada hari ini.
Perintah reman hingga Rabu terhadap lelaki berumur 22 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurliyana Md Zukri di Mahkamah Majistret Setiu, di sini hari ini.
Penahanan itu bagi membolehkan siasatan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dijalankan berikutan lelaki berkenaan didapati positif dadah.
Dalam kejadian pada 10.30 malam itu, S Arumugam, 40, dan anaknya A Sarrvihka, 3, serta seorang lagi saudara perempuan, V Vennpani, 10, maut manakala dua mangsa cedera termasuk seorang kritikal, selain 10 lagi terselamat.
Kesemua penumpang bot berusia tiga hingga 40 tahun yang mempunyai pertalian keluarga itu dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar selepas selesai makan malam, namun ombak besar tiba-tiba datang menyebabkan bot terbalik.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad@Abu semalam berkata, pemandu bot terbabit disahkan positif dadah selain turut mempunyai lima rekod lampau berkaitan bahan terlarang itu. – Sinar Harian