Negeri

Pesara tentera meninggal dunia ketika solat Dhuha

BUTTERWORTH: Seorang pesara Tentera Diraja Udara Malaysia (TUDM) meninggal dunia ketika sedang menunaikan solat sunat Dhuha di Masjid Jamek Sungai Puyu di sini, pagi kelmarin.

Terdahulu, Allahyarham Zulkifli Ahmad, 50, yang juga Ahli Persatuan Veteran TUDM, dikatakan singgah di masjid itu untuk menunaikan solat berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan rebah dan menghembuskan nafas terakhir, kira-kira jam 10.45 pagi.

Kejadian disedari beberapa ahli kariah yang kebetulan menyertai satu program keagamaan di situ.

Ahli kariah, Adnan Mohd Farok, 44, berkata beliau yang baru tiba di masjid itu melihat jemaah sedang mengerumuni arwah yang sudah tidak sedarkan diri.

“Di masjid ini memang kerap ada program keagamaan dan kebetulan ketika kejadian ada majlis pengajian untuk muslimat.

“Ketika itu, ada ahli kariah ternampak arwah dalam keadaan bersujud terlalu lama hingga timbul rasa pelik dan pergi menghampirinya sebelum dia tiba-tiba rebah.

“Beberapa ahli kariah kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati beliau sudah meninggal dunia,” katanya.

Adnan berkata, walaupun mengenali sosok Allahyarham Zulkifli, namun mengetahui bahawa arwah banyak mengikuti program keagamaan bersama kumpulan tabligh yang disertainya.

“Arwah yang saya dengar dari orang sekeliling banyak sertai program dengan kumpulan tabligh dan masjid ini adalah salah satu masjid yang kerap dia singgah.

“Waktu kejadian, dia sedang menunaikan solat sunat Dhuha yang pemergiannya amat dicemburui, apatah lagi rakan-rakan yang mengenalinya menyifatkan dia seorang yang sangat baik dan banyak membantu mereka memerlukan,” katanya.

Difahamkan, Allahyarham Zulkifli yang menyewa di sebuah rumah dekat Telok Ayer Tawar di sini meninggalkan seorang isteri dan tiga anak.

Jenazah dibawa pulang ke kampung halamannya di Batu Kurau, Perak dan selamat dikebumikan selepas Solat Asar, semalam.

Terdahulu, kisah kematian Allahyarham Zulkifli dikongsi Adnan menerusi akaun media sosial miliknya sehingga mendapat perhatian netizen kerana mencemburui pemergiannya ketika sedang beribadat. – Berita Harian

Related Posts