BANGKOK – Malaysia memperuntukkan kira-kira RM3 bilion bagi Projek Penambahbaikan Muara Sungai Golok, sebuah inisiatif strategik rentas sempadan bersama Thailand yang bertujuan mengurangkan risiko banjir, melindungi komuniti setempat, dan memperkukuh keselamatan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan telah memulakan pelbagai langkah komprehensif sebagai sebahagian daripada kerjasama dengan Thailand.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, menjelaskan bahawa jumlah keseluruhan pembiayaan projek tersebut termasuk program tebatan banjir dan pembinaan tembok keselamatan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dianggarkan bernilai sekitar RM3 bilion.
“Kita telah memaklumkan kepada kerajaan Thailand bahawa Malaysia telah meluluskan lokasi bagi kerja-kerja pengorekan muara sungai, dan pada masa yang sama melaksanakan penambahbaikan di Sungai Golok termasuk pembinaan tembok sungai.
“Ini bukan sekadar inisiatif tebatan banjir, malah merupakan langkah keselamatan negara.
“Projek ini akan menangani isu banjir secara menyeluruh, dan apabila siap kelak, ia dijangka dapat mengurangkan kejadian banjir serta kerugian melibatkan harta benda, aset, dan mata pencarian bukan sahaja bagi penduduk setempat, tetapi juga sektor perniagaan dan infrastruktur kerajaan,” katanya kepada Bernama di akhir lawatan kerja empat hari beliau ke Thailand pada Sabtu.
Menurut beliau, sebahagian projek masih menunggu kelulusan akhir daripada pihak berkuasa Thailand, dengan tempoh pelaksanaan dijangka mengambil masa tiga tahun.
Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah memaklumkan bahawa Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pihak Berkuasa Penjanaan Elektrik Thailand (EGAT) telah melengkapkan kajian kebolehlaksanaan bagi menaik taraf kemudahan sambungan grid kuasa antara kedua-dua negara. – Sinar Harian