GERIK: Kejadian seekor gajah betina yang dirakam sedang cuba menolak sebuah lori selepas anaknya dipercayai mati akibat dilanggar kenderaan berat itu di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, awal pagi tadi mengundang sebak.
Video menyayat hati berdurasi seminit 11 saat yang tular di media sosial itu mengundang reaksi simpati dalam kalangan pengguna media sosial apabila melihat tindakan si ibu yang enggan berganjak dari lokasi kejadian untuk menyelamatkan anaknya.
Difahamkan kemalangan kira-kira jam 2 pagi itu membabitkan sebuah lori muatan ayam dan seekor anak gajah yang ditemui terperosok di bawah bahagian hadapan lori berkenaan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff memaklumkan pihaknya menerima maklumat berkaitan insiden itu sekitar jam 3.30 pagi.
“Hasil pemantauan mendapati seekor anak gajah jantan dianggarkan berusia lima tahun maut selepas dipercayai dilanggar lori ketika cuba melintas jalan.
“Kakitangan kami digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi memantau dan menangkap ibu gajah tersebut untuk dialihkan ke kawasan lebih selamat,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Menurutnya, ibu gajah tersebut dianggarkan berusia 25 hingga 27 tahun dengan berat dianggarkan 2.2 tan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood memaklumkan, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan bagi kes kemalangan itu dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, rakaman video yang dimuat naik di laman Dunia Haiwan Malaysia turut menyentuh hati ramai pengguna media sosial yang bersimpati dengan situasi yang menimpa haiwan liar itu. – Sinar Harian