KUALA TERENGGANU: Sebuah kedai perabot musnah terbakar dalam kejadan di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Ibai, di sini, malam tadi.
Timbalan Penguasa Bomba Dua, Thoyyibah Taib berkata, kebakaran itu turut melibatkan garaj hadapan sebuah rumah berdekatan kedai perabot tersebut.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran tersebut pada pukul 8.55 malam dan anggota bomba tiba di lokasi pukul 9.04 malam.
Katanya, seramai 25 anggota bomba dari tiga balai bomba berhampiran dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan.
“Kebakaran melibatkan sebuah kedai perabot jenis sementara yang musnah 80 peratus dan sebuah rumah jenis separuh kekal hanya musnah pada garaj hadapan.
“Bagaimanapun, tiada mangsa terlibat dalam kebakaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau memberitahu, kebakaran tersebut dapat dikawal pada pukul 9.51 malam dan operasi tamat pukul 12,50 malam.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya. – Suara Timur