SHAH ALAM: Kepimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam menerajui Pas dilihat perlu dikekalkan kerana beliau mempunyai pengaruh walaupun keadaan kesihatannya semakin uzur dan usia yang kian lanjut.
Felo Penyelidik, Unit Literasi dan Advokasi Politik, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, ahli dan penyokong melihat Presiden Pas itu sebagai susuk ulama yang memiliki pengetahuan agama yang luas dan mendalam.
“Selepas ketiadaan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat, Abdul Hadi, 78, yang juga Ahli Parlimen Marang dilihat menjadi pemimpin tunggal Pas yang masih memiliki tahap keilmuan, kerohanian dan karismatik seperti itu.
Pada 15 Februari lalu, Pas dilapor masih memerlukan Abdul Hadi sebagai Presiden untuk memimpin dan menerajui parti Islam itu.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ia berdasarkan ilmu, pengalaman dan keperibadian beliau yang sukar dicari ganti.
Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, pengaruh yang dimiliki menjadikan Abdul Hadi turut memiliki kuasa penyatu dan pengikat dalam Pas.
Beliau menjelaskan, selepas perpecahan Pas pada tahun 2015, Abdul Hadi mendapat dukungan penuh semua segmen dalam parti termasuk kelompok ulama dan golongan profesional.
“Jadi jika beliau berundur atau jawatan presiden dikosongkan sekarang, akan berlaku pertandingan untuk kerusi berkenaan antara dua blok utama dalam Pas iaitu kumpulan ulama dan kumpulan profesional.
“Daripada kedua-dua blok ini tidak ada tokoh setanding Abdul Hadi. Maksudnya siapa pun calon presiden, calon-calon tersebut tidak memiliki kuasa pengikat dan penyatu seperti Abdul Hadi. Sebab itu sekiranya berlaku pertandingan, Pas berisiko berantakan sekali lagi,” ujarnya.
Justeru, Mohd Yusri berpandangan, disebabkan faktor tersebut, meskipun Abdul Hadi ketika ini dilihat agak uzur dari segi kesihatan sekarang masih diharap untuk kekal sebagai presiden. – Sinar Harian