Sukan

JDT sentap ego Pohang Steelers

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) berada di kelas tersendiri apabila berjaya mengatasi cabaran kelab K1 Liga Korea, Pohang Steelers 5-2 pada aksi terakhir Kumpulan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Dengan misi wajib menang skuad kendalian Hector Bidoglio mengesahkan slot ke pusingan 16 pasukan terbaik dengan menempatkan diri dalam lapan pasukan terbaik Zon Timur selepas menamatkan saingan di tempat keempat ketika ini apabila mengumpul 14 mata.

Dan kemungkinan besar skuad Harimau Selatan pada bakal berdepan satu lagi kelab Korea, Gwangju FC yang turut mengumpul 14 mata yang kini berada di tangga kelima, hanya dipisahkan dengan perbezaan jaringan pada pertembungan timbal balik yang dijadual pada 4 Mac ini.

Kali terakhir skuad Harimau Selatan di bawah bimbingan Benjamin Mora mara ke pusingan 16 pasukan terbaik pada musim 2022 namun ketika di bawah kendalian Bidoglio, pasukan itu tumpas 5-0 kepada kelab dari Jepun, Urawa Red Diamonds pada aksi di Stadium Saitama sekali gus gagal mara ke peringkat seterusnya.

Walaupun di awal permainan JDT tampak menguasi permainan namun serangan balas pantas anak didik Park Tae-ha pada minit kelima mengundang cemas gawang tuan rumah selepas bola rembatan leret Juninho dari luar kotak penalti hanya sipi di sebelah kiri gawang ketika penjaga gol, Andoni Zubiaurre sudah tertewas.

JDT juga memiliki peluang terbaik membuka tirai jaringan pada minit ke-11 apabila bola sepakan percuma Juan Muniz sedikit melencong ke sebelah kiri tatkala penjaga gol, Yoon Pyung-guk sudah tertewas.

JDT hampir bolos gol sendiri pada minit ke-17 selepas bola sepakan lintang Jorge Luiz menyaksikan Eddy Israfilov tersilap menendang bola, mujur Zubiaurre berada dalam keadaan bersedia untuk menangkap kemas bola.

Pohang Steelers berjaya mengejutkan JDT pada minit ke-26 menerusi set-piece yang menarik apabila bola sepakan lintang Jorge Luiz tepat kepada Lee Ho-jae yang tidak dikawal bertindak menyusup masuk ke dalam kotak sebelum menanduk tepat ke penjuru kanan gol menewaskan Zubiaurre yang sekadar tergamam melihat bola masuk ke gawang.

Sepanjang 30 minit permainan, kelibat Bergson da Silva yang dipertaruh bagi menguatkan jentera serangan tampak masih tercari-cari sentuhan penyudah apabila dikawal ketat benteng pelawat.

Walaupun dikawal ketat, ia tidak menghalang Bergson menjadi pencetus gol penyamaan buat JDT apabila bola tandukan pada minit ke-37 berpunca daripada bola sepakan lintang Jonathan Viera yang gagal ditangkap kemas Pyung-guk, membolehkan Oscar Arribas menyambar bola dan merembat masuk untuk mengikat kedudukan 1-1.

Bersambung babak kedua, Bergson bagaikan melepas geram pada minit ke-52 walaupun diasak kapten Lee Dong-hee, namun penyerang prolifik JDT itu bijak mengawal bola sebelum bertindak memusingkan badan untuk menyepak tepat ke gawang menewaskan Pyung-guk bagi meletak tuan rumah mendahului 2-1.

Gegak gempita lebih 30,000 penyokong Harimau Selatan menyambut jaringan ketiga pada minit ke-56 selepas Arif Aiman Hanapi bijak mengambil kesempatan daripada kesilapan Pyung-guk yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya apabila mudah memperdaya penjaga gol pelawat sebelum menolak bola ke gawang yang tidak dikawal.

Tersentap selepas ketinggalan 3-1, anak didik Tae Ha mula menyusun strategi dalam usaha merapatkan jurang gol namun benteng yang dikawal Israfilov, Jordi Amat dan Alvaro Gonzalez serta dibantu Naxto Insa tampak bertungkus lumus mengekang asakan penyerang pelawat.

Usaha berterusan Pohang Steelers membuahkan hasil pada minit ke-80 berpunca daripada sepakan lintang Hong Yun-sang membuka ruang buat pemain gantian Kang Hyeon-je yang tidak dikawal menolak masuk menewaskan Zubiuarre.

Walaupun pemain gantian Heberty Fernandes menjaringkan gol pada minit kecederaan namun pengadil dari Jordan Adham Mohammasd Makhadmeh membatalkan jaringan itu selepas melakukan semakan video bantuan pengadil (VAR) yang mengesan Heberty mengasari Pyung-guk.

Namun itu tidak menghalang JDT melenyap sisa perjuangan anak didik Tae-ha selepas pemain gantian Jese Rodrigue mencipta jaringan pada minit ke-97 dan ketika aksi hampir ke penamat pemain gantian Jorge Obregon menyudahkan sepakan penalti bagi memastikan kemenangan bergaya 5-2 menewaskan kelab dari Korea Selatan itu. – Berita Harian

Related Posts