KUANTAN: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya merealisasikan pelaburan berjumlah RM10.2 bilion di Pahang, mengatasi sasaran RM5.7 bilion untuk tahun 2024.
Dalam satu kenyataan baru-baru ini, ECERDC berkata 80 peratus daripada pelaburan itu disumbangkan oleh sektor pembuatan, diikuti oleh minyak dan gas serta hartanah sekali gus menjana 3,342 peluang pekerjaan dan membuka 158 prospek keusahawanan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dilaporkan Bernama, berkata, negeri itu komited dalam meningkatkan daya tarikannya kepada pelabur dan ECERDC memainkan peranan holistik dalam memudah cara pelaburan baharu untuk memastikan pelaburan dapat direalisasikan.
“Kami sedang melaksanakan langkah-langkah proaktif untuk mempercepatkan proses pelaburan sekali gus memacu pertumbuhan industri yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau juga berkata, projek bekalan air antara negeri sepanjang 29 kilometer dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Pahang, akan memastikan sumber air yang boleh dipercayai untuk pertumbuhan industri, menarik lebih banyak pelaburan dan meningkatkan operasi perniagaan di taman perindustrian Gebeng.
“Tambahan pula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal beroperasi pada 2027 dijangka meningkatkan kesalinghubungan, menjadikan Gebeng sebagai hab perindustrian yang bersedia untuk pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan,” katanya. – Suara Timur