Home NasionalKanak-kanak 10 tahun ditemui terbiar, menggigil dipercayai didera

Kanak-kanak 10 tahun ditemui terbiar, menggigil dipercayai didera

oleh suara timur

NILAI: Suami isteri ditahan polis susulan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dengan kesan kecederaan fizikal ditemui dalam keadaan ketakutan, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, lelaki dan wanita berusia 20-an itu ditahan kira-kira jam 2 petang tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai.

“Kejadian ini terbongkar kira-kira jam 5.30 petang semalam apabila seorang lelaki menjumpai kanak-kanak lelaki itu dalam keadaan terbiar, ketakutan dan menggigil di luar sebuah premis kedai serbaneka di Star Valley, di sini.

“Orang awam itu bertindak membawa kanak-kanak berkenaan ke tempat selamat serta menghubungi pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

banner

Beliau berkata, hasil tindakan pantas polis, kanak-kanak itu dibawa ke IPD Nilai dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengesan penjaga mangsa.

“Susulan siasatan, pihak polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita, masing-masing dipercayai bapa tiri dan ibu kandung mangsa, bagi membantu siasatan.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat unsur kecederaan disyaki akibat penderaan pada tubuh mangsa di beberapa bahagian badan. Mangsa dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan lanjut.

“Siasatan lanjut juga mendapati mangsa pernah menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor, pada 2020.

“Ia susulan selepas mengalami kecederaan ‘nonaccidental injury’ iaitu dengan kesan melecur akibat terkena air panas di bahagian kepala, bahu kanan, dada dan belakang badan,” katanya.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 31(1), Akta Kanak-Kanak 2001.

“Kami memandang serius sebarang bentuk penderaan terhadap kanak-kanak dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melakukan perbuatan itu.

“Orang awam dinasihatkan supaya segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesyaki berlaku penderaan atau pengabaian terhadap kanak-kanak,” katanya. – Berita Harian

Tinggalkan komen