Oleh MUKHATAR A RAHMAN
BANDAR PUSAT JENGKA: Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) Berhad hari ini mengumumkan Agihan Keuntungan Boleh Agih Interim 1 Tahun 2026 berjumlah RM126.91 juta kepada 72,048 peserta melibatkan 747 projek yang mencatat keuntungan.
Agihan itu merupakan Agihan Keuntungan Interim 1 kedua tertinggi direkodkan FELCRA Berhad dalam tempoh sedekad.
Pengumuman berkenaan dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia dan Hari Peneroka FELDA 2026 di Stadium Tun Abdul Razak, di sini, hari ini.
Dalam kenyataan hari ini, FELCRA Berhad memaklumkan pembayaran agihan itu adalah hasil prestasi bagi tempoh Januari hingga April 2026 dan akan disalurkan secara berperingkat mulai hari ini.
Menurut kenyataan itu, pencapaian berkenaan direkodkan walaupun harga purata minyak sawit mentah (CPO), buah tandan segar (BTS) dan getah menunjukkan trend penurunan berbanding tempoh sama tahun lepas.
“Bagaimanapun, FELCRA Berhad berjaya meningkatkan bilangan projek yang mencatat keuntungan, mengurangkan jumlah projek yang mengalami kerugian serta memperkukuh kecekapan pengurusan operasi.
“Prestasi ini membuktikan pembangunan ladang luar bandar tidak ditentukan oleh harga pasaran semata-mata, sebaliknya dipacu oleh disiplin pengurusan, peningkatan produktiviti ladang dan kecekapan operasi,” menurut kenyataan itu.
Pengerusi FELCRA Berhad, Dato’ Sri Ahmad Jazlan Yaakub berkata pencapaian tersebut membuktikan kekuatan organisasi itu bukan hanya bergantung kepada keadaan pasaran, sebaliknya kepada keupayaan mengurus operasi secara lebih cekap dan berkesan.
“Harga komoditi merupakan faktor yang tidak dapat kita kawal. Namun, apa yang berada dalam kawalan FELCRA ialah bagaimana kita mengurus ladang dengan lebih cekap supaya manfaat kepada peserta dapat terus dipertingkatkan secara mampan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Mohamed Ismi Abdul Majid berkata pengurangan bilangan projek yang mengalami kerugian mencerminkan keberkesanan pemantauan prestasi yang berterusan, pengurusan kos yang lebih berhemat serta komitmen seluruh warga FELCRA dalam meningkatkan kecekapan operasi.
“Fokus kami adalah memastikan setiap pembangunan ladang luar bandar diurus secara sistematik melalui pemantauan prestasi yang berterusan, pengurusan kos yang berhemat serta peningkatan produktiviti bagi memastikan manfaat kepada peserta dapat dikekalkan secara mampan,” katanya.
Beliau berkata FELCRA Berhad akan terus memperkukuh pengurusan pembangunan ladang luar bandar dan meningkatkan kecekapan operasi bagi memastikan manfaat yang mampan terus dinikmati peserta, di samping menyumbang kepada peningkatan ekonomi komuniti luar bandar serta menyokong agenda pembangunan desa negara.
Katanya, agihan keuntungan itu mencerminkan komitmen berterusan FELCRA Berhad dalam memperkukuh pembangunan luar bandar sebagai antara pemacu strategik pembangunan negara. — Suara Timur
