,PETALING JAYA: Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang dijadualkan pada 29 Januari ini dibatalkan, sebaliknya ketua empat parti komponen gabungan itu akan mengadakan pertemuan di kediaman Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perkara itu berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada beberapa sumber dalam parti komponen PN.
Difahamkan, pertemuan ketua-ketua parti itu adalah mesyuarat awal bagi ‘menentukan hala tuju’ sebelum Majlis Tertinggi PN bersidang untuk mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN serta melantik penggantinya.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.
“Mesyuarat itu telah ditukar kepada mesyuarat pra-majlis di kediaman Muhyiddin,” katanya ringkas tanpa mengulas lanjut.
Setakat ini, punca pembatalan mesyuarat yang sepatutnya berlangsung di ibu pejabat Gerakan di Cheras pada jam 8 malam, Khamis ini masih belum dapat dipastikan.
Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan, berkata perkara itu susulan perbincangan awal antara PAS dan Bersatu mengenai hala tuju masa depan gabungan berkenaan.
“Berdasarkan perbincangan awal antara PAS dan Bersatu, Muhyiddin telah mengeluarkan surat kepada semua presiden dalam PN,” katanya.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, turut mengesahkan perkara itu dengan memaklumkan mesyuarat berkenaan ditukar kepada mesyuarat ‘pra-Majlis PN’. – Berita Harian
