PETALING JAYA: Sebanyak RM4 bilion ‘wang ehsan’ telah diagihkan kepada Terengganu manakala RM967 juta untuk Kelantan antara 2023 dan 2025, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga menteri kewangan berkata dana itu untuk melaksanakan projek dan program memberi manfaat kepada rakyat di kedua-dua negeri berkenaan.
“Bantuan ini bagi memenuhi keperluan bayaran emolumen Kerajaan Kelantan dan Terengganu, melaksanakan projek-projek pembasmian kemiskinan dan infrastruktur.
“(selain itu) Serta membantu menyelesaikan bayaran komitmen kedua kerajaan negeri,” katanya dalam jawapan bertulis.
Anwar menyatakan perkara itu dalam jawapan kepada Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang bertanya status pembayaran royalti petroleum kepada negeri pantai timur itu.
Beliau berkata ‘wang ehsan’ itu diagihkan kepada Terengganu dan Kelantan walaupun tiada petroleum ‘didapati dan diperoleh’ daripada kedua-dua negeri itu.
Anwar juga menjelaskan Putrajaya bersedia mempertimbangkan cadangan daripada kerajaan Kelantan dan Terengganu berhubung program serta projek boleh dibiayai melalui pemberian terbabit.
“Terutamanya dalam usaha mengurangkan kemiskinan dan menambah baik infrastruktur asas.
Pada Mac tahun lalu, Anwar berkata pentadbirannya memperuntukkan sejumlah RM1.55 bilion untuk pembangunan Terengganu tahun lepas, walaupun royalti petroleum hanya berjumlah RM786 juta.
Beliau berkata perbelanjaan pembangunan bagi negeri yang ditadbir PAS itu meningkat kepada RM1.59 bilion tahun ini.
Anwar turut berkata jumlah royalti petroleum untuk Terengganu meningkat semasa pentadbirannya berbanding ketika PAS dan Bersatu berada dalam kerajaan persekutuan, dengan hanya RM399 juta direkodkan pada tahun 2022. – FMT