Home NegeriSurau Al Mukmin Kampung Padang Kemunting perlu dana RM130,000 laksana kerja baik pulih

Surau Al Mukmin Kampung Padang Kemunting perlu dana RM130,000 laksana kerja baik pulih

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Surau Al Mukmin Kampung Padang Kemunting, Kijal memerlukan sumbangan dana daripada orang ramai berjumlah kira-kira RM130,000 bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih melibatkan kerosakan struktur bangunan yang uzur.

Ketua projek, Abdul Ghafar Mohamed berkata sumbangan itu diperlukan bagi menggantikan struktur bangunan yang telah lama digunakan sejak surau berkenaan didirikan pada tahun 1950, ketika kawasan kampung itu mula dibuka sebagai tanah pertanian.

Untuk rekod, Kampung Padang Kemunting mempunyai 79 buah rumah dengan jumlah penduduk seramai 330 orang, manakala tempat ibadat terdekat adalah Masjid Kampung Anak Dara yang terletak kira-kira 5.5 kilometer dari kampung itu.

banner

Beliau berkata anggaran kos RM130,000 itu melibatkan kerja-kerja membaiki struktur utama termasuk bumbung, atap, siling, pendawaian elektrik serta perkakas bahagian atas bangunan.

KEADAAN Surau Al Mukmin Kampung Padang Kemunting, Kijal yang uzur dan perlu dibaiki segera. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Selain itu, kos tambahan turut diperlukan bagi pemasangan sistem siaraya, pendingin hawa, kipas dan lampu bagi memastikan keselesaan jemaah,” katanya dalam kenyataan kepada Suara Timur hari ini.

Menurut Abdul Ghafar, yang juga ahli jawatankuasa surau, bangunan asal surau itu dibina menggunakan kayu oleh kerajaan negeri sebelum dinaik taraf kepada struktur batu pada tahun 2000 menerusi gotong-royong penduduk kampung serta sumbangan orang awam dan pihak luar.

Beliau berkata hanya struktur bumbung masih mengekalkan bahan asal menggunakan kayu sebagai perabung, manakala atap zink telah ditukar kepada atap jenis metal deck.

BAHAGIAN siling yang rosak di Surau Al Mukmin Kampung Padang Kemunting, Kijal, Kemaman.- SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Keadaan struktur bumbung kini mengalami kerosakan teruk akibat serangan anai-anai selain kebocoran yang menyebabkan air hujan membasahi lantai surau.

“Pendawaian elektrik yang telah lama dan tidak pernah diganti turut menyebabkan kejadian lintas pintas, manakala keadaan tandas pula didapati rosak teruk,” katanya.

Abdul Ghafar memaklumkan surau berkenaan turut berfungsi sebagai sokongan kepada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setiap kali berlaku banjir semasa Monsun Timur Laut (MTL), bagi menampung kepadatan di PPS Balairaya Kampung Padang Kemunting yang menempatkan kira-kira 172 penduduk setiap tahun.

BAHAGAGIAN atap Surau Al Mukmin Kampung Padang Kemunting, Kijal yang pecah dan perlu diganti baharu. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Katanya, surau itu juga mampu menampung lebih 50 jemaah pada satu-satu masa dan sering dipenuhi jemaah khususnya sepanjang bulan Ramadan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam bernombor 13026010075211 atas nama Surau Kampung Padang Kemunting Kijal Kemaman.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Abdul Ghafar Mohamed di talian 019-938 2515. – Suara Timur

Tinggalkan komen