Home PolitikHamzah letak jawatan Ketua Pembangkang

Hamzah letak jawatan Ketua Pembangkang

oleh suara timur

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Pembangkang berkuat kuasa 1 Januari 2026, menyusuli tindakan yang diambil pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN).

Hamzah menerusi satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu susulan peletakan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mengambil kira realiti serta keperluan politik semasa.

“Keputusan ini dibuat selepas pertimbangan menyeluruh, demi memastikan kesinambungan kepimpinan dan kestabilan PN bergerak selari dengan hala tuju baharu di bawah Pengerusi yang akan dilantik kelak.

KENYATAAN media Hamzah mengenai peletakan jawatan sebagai Ketua Pembangkang berkuat kuasa 1 Januari 2026,

“Langkah ini bukan satu pengunduran daripada perjuangan, sebaliknya satu tindakan strategik dan bertanggungjawab bagi memberi ruang kepada kepimpinan baharu menyusun pasukan, memperkukuh peranan pembangkang serta memperkemaskan strategi menghadapi cabaran politik mendatang,” katanya.

banner

Beliau bagaimanapun memberitahu akan kekal komited untuk terus berkhidmat dan menyumbang kepada PN dalam apa jua kapasiti yang diperlukan, demi kepentingan rakyat serta masa depan negara.

Terdahulu, Muhyiddin mengesahkan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.

Selain Muhyiddin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN dan Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Turut bertindak serupa ialah Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker. – Metro

Tinggalkan komen