Home NasionalJalan Aring di Gua Musang menuju sempadan Terengganu masih ditutup kepada semua kenderaan – JKR

Jalan Aring di Gua Musang menuju sempadan Terengganu masih ditutup kepada semua kenderaan – JKR

oleh suara timur

GUA MUSANG: Jalan Aring menuju sempadan Terengganu di sini, yang terkesan dengan kejadian mendapan tiga tahun lalu, masih ditutup kepada semua kenderaan.

Semalam tular di media sosial rakaman video memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda menggunakan jalan terbabit yang mendap dan rosak teruk, namun difahamkan video berkenaan diambil pada Jun lalu dan diulang siar sehingga tular di beberapa platform media sosial.

Malah ada yang mendakwa jalan terbabit adalah laluan Gua Musang-Lojing sehingga menimbulkan kegusaran ramai, termasuk kepada pengguna jalan raya yang melalui daerah ini untuk ke Kuala Lumpur.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Ir Nik Badlihisham Nik Ismail, berkata jalan terbabit tidak pernah dibuka kepada semua kenderaan sejak Disember 2022.

banner

“Jalan terbabit sehingga kini tidak pernah dibuka kepada orang awam sejak ditutup pada Disember 2022 dan masih dalam pembaikan. Pengguna dilarang sama sekali melalui jalan terbabit kerana mereka dianggap menceroboh kawasan pembaikan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo menasihatkan pengguna mematuhi arahan penutupan jalan oleh pihak JKR.

“Tindakan pengguna lalu jalan terbabit boleh membahayakan keselamatan kerana laluan itu tidak selamat digunakan. Nasihat saya, pengguna sentiasa patuh arahan yang sudah dikeluarkan. Arahan penutupan jalan berkuat kuasa sejak tiga tahun lalu, jadi jangan sesekali ambil risiko dan membahayakan nyawa,” katanya. – Berita Harian

Tinggalkan komen