GUA MUSANG: Hampir RM1 juta kerugian dilaporkan akibat kemalangan yang membabitkan haiwan ternakan berkeliaran bebas di atas jalan raya sehingga November lalu
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, jumlah itu merangkumi 166 kes kemalangan yang dilapor di beberapa jalan utama dengan Januari dan September mencatat jumlah tertinggi, masing-masing 20 kes.
“Kami memandang serius masalah lembu berkeliaran ini kerana ia boleh membahayakan pengguna jalan raya, terutama ketika cuti sekolah atau musim perayaan.
“Setakat November sahaja, berdasarkan rekod kami, kerugian akibat kemalangan yang membabitkan lembu berjumlah RM996,000.
“Jadi polis menasihati penternak supaya mengawal ternakan mereka dan lebih bertanggungjawab bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Beliau mengulas laporan semalam mengenai keluhan pengguna jalan raya yang berdepan risiko kemalangan dengan lembu yang berkeliaran bebas di atas jalan raya utama.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Gua Musang (MDGM), Mohd Roshdi Ismail berkata, pihaknya melaksana operasi menangkap haiwan rayau pada setiap bulan dengan sokongan daripada beberapa agensi.
“Pelbagai usaha sudah kami lakukan termasuk membuat hebahan di surau atau masjid, agar penternak tidak membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran di jalan raya, terutama jalan utama.
“Sehingga September lalu, sebanyak 19 haiwan rayau berjaya ditangkap, yang mana 15 daripadanya adalah lembu dan selebihnya pula kambing.
“Setiap operasi yang kami jalankan turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Veterinar dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Gua Musang,” katanya yang memaklumkan penguatkuasaan akan terus dipertingkat dengan tambahan operasi bersepadu kekang haiwan rayau.
Katanya, antara kawasan hot spot yang difokuskan adalah di sekitar Jalan Gua Musang ke Kuala Krai, Felda Chiku 3 dan Jalan Felda Chiku 5 ke Felda Chiku 7.
Dalam masa sama beliau mahu kalangan penternak prihatin dan bertanggungjawab dalam mengawal ternakan masing-masing agak tidak lepas bebas.
Katanya, MDGM tidak berkompromi dalam isu itu dan penternak yang ingkar boleh dikenakan kompaun sehingga RM1,000 atau denda sehingga RM2,000 mahupun penjara sehingga satu tahun jika didapati bersalah. – Metro
