KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki direman di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini bagi membantu siasatan kejadian cubaan membeli barang kemas menggunakan wang palsu pada 18 Disember lalu.
Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak menetapkan tempoh reman selama empat hari bermula hari ini hingga 2 Januari depan terhadap lelaki berusia 33 tahun berkenaan.
Terdahulu pada 19 Disember lalu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, laporan dibuat seorang jurujual lelaki berusia 36 tahun di Balai Polis Kuala Terengganu jam 6.31 petang.
Menurutnya, jam 3.10 petang ketika mangsa berada di kaunter jualan di sebuah kedai emas di Chabang Tiga, di sini, didatangi seorang lelaki berusia awal 30-an.
Katanya, suspek datang bersendirian dengan memakai kopiah putih, bercermin mata hitam dan menggunakan pelitup mulut dan hidung berwarna merah jambu.
“Difahamkan suspek terbabit menyatakan hasrat ingin membeli barang kemas dengan anggaran nilai RM30,000.
“Ketika dalam urusan penyediaan resit pembelian, mangsa kemudian meminta individu itu menyerahkan wang untuk proses pengiraan.
“Mangsa melihat suspek itu meletakkan duit yang diikat secara ‘bundle’ dalam sebuah plastik berwarna kuning namun pemerhatian awal mangsa mendapati wang itu agak pelik kerana bentuk tepi wang itu berwarna putih,” katanya.
Menurutnya, mangsa kemudian mengambil wang tersebut untuk melihat sendiri didalamnya namun berlaku tarik menarik antara mangsa dan suspek berkenaan hingga menyebabkan mangsa menarik sekali tangan suspek itu.
Katanya, suspek terbabit kemudian bertindak agresif dan terus melarikan diri dengan menggunakan kenderaan yang diletakkan di hadapan kedai berkenaan.
Azli berkata, suspek berkenaan melarikan diri dengan menggunakan kereta jenis Perodua Axia berwarna biru gelap dengan nombor pendaftaran BHA 4371 namun semakan mendapati ia adalah palsu.
Media pada 27 Disember lalu melaporkan suspek sama ditahan selepas cubaan melarikan seutas rantai emas bernilai RM30,000 dalam kejadian yang berlaku di sebuah kedai emas dekat Paka. – Metro
