Home NegeriPerigi 52 tahun ‘timbul’ akibat hakisan, jadi tarikan ramai

Perigi 52 tahun ‘timbul’ akibat hakisan, jadi tarikan ramai

oleh suara timur

KUALA NERUS: Fenomena ombak besar pada musim tengkujuh mengakibatkan sebuah perigi berusia 52 tahun yang tertanam dalam tanah sebelum ini timbul ke permukaan akibat hakisan berterusan yang berlaku di Pantai Kampung Tanjung, dekat sini.

Penduduk, Mohd Salleh, 69, berkata, tujuh ‘kerek’ (gelung simen perigi) timbul ke permukaan akibat hakisan teruk yang berlaku sejak kebelakangan ini, namun baki tujuh atau lapan kerek lagi masih tertanam dalam tanah.

Katanya, perigi itu kini menjadi tarikan orang ramai yang berkunjung ke pantai berkenaan untuk melihat keadaan hakisan yang berlaku.

“Dulu jarak perigi dengan pantai kira-kira 100 meter, namun kini sudah berada dalam laut dan menunggu masa untuk roboh.

banner

“Bagaimanapun, perigi timbul berkenaan buat masa ini menjadi tarikan dan antara tanda bahawa hakisan teruk sedang berlaku di kampung ini,” katanya.

Beliau berkata, kedudukan dari bawah perigi hingga ke atas dianggarkan kira-kira tiga meter dan ia memperlihatkan seriusnya hakisan yang berlaku di kawasan ini.

Rakannya, Mohd Bidin, 74, dari Kampung Pengkalan Atap berkata, sebelum kejadian hakisan, hanya satu kerek perigi saja yang kelihatan dan masih digunakan penduduk setempat.

“Perigi yang digunakan sebagai sumber air harian itu sudah lama dibina dan dulu hanya satu kerek saja yang kelihatan.

“Bahagian bawah perigi dulu dilitupi pasir, namun hari ini tujuh kerek boleh dilihat dijelas akibat hakisan,” katanya.

Mohd berkata, struktur kerek yang timbul jelas menunjukkan binaan lama kerana ia menggunakan batu sungai berbeza dengan binaan kerek telaga pada masa kini kebanyakannya menggunakan simen dan batu moden.

Katanya, perigi ini mungkin akan tumbang tidak lama.

Seorang lagi penduduk, Mohd Azri Awang, 48, dari Kampung Maras berkata, dia tidak menyangka kawasan yang sering menjadi lokasi santai penduduk untuk berehat kini berubah drastik.

“Kawasan pantai ini sebelumnya adalah tempat ‘healing’ dan lokasi penduduk kampung berkumpul pada waktu petang.

“Keadaannya mula berubah akibat hakisan teruk dan tiada usaha dilakukan bagi menyelamatkan kawasan ini,” katanya.

Mohd Azri berkata, sebelum ini terdapat sebuah kedai menjual minuman di situ, ia sudah lenyap akibat hakisan dalam tempoh kurang sebulan.

“Perigi itu juga berubah cepat kerana kira-kira dua bulan lalu, kawasan itu masih kelihatan biasa sebelum ombak mula menghakis secara agresif hingga perigi itu timbul dan tinggi di permukaan,” katanya. – Berita Harian

Tinggalkan komen