KUALA TERENGGANU: Penganggur dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah mengugut untuk menetak adik kandungnya dalam kejadian 6 Disember lalu.
Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak membuat keputusan itu selepas tertuduh Muhammad Amirul Fakhruddin Aminuddin, 33, mengaku bersalah atas tuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, pada 6 Disember lalu kira-kira jam 8 malam ketika berada di hadapan sebuah rumah di Kampung Wakaf Chagak, Batu Rakit, tertuduh melakukan ugutan jenayah terhadap adiknya.
Tertuduh mengugut dengan berkata ‘aku bahan mu dengan parang ni’ terhadap adiknya yang berusia 20 tahun dengan niat menimbulkan rasa takut.
Oleh demikian, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan bermula dari tarikh sabitan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ely Nazihah Ahmad Yunus manakala tertuduh diwakili peguam Azlina Jaafar daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. – Metro
