Negeri

Pemandu lori maut motosikal RX-Z ditunggangi langgar kereta buat pusingan U

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang pemandu lori maut selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di
Kilometer 5, Jalan Mak Chili – Ibok di persimpangan ke Taman Desa Solehah, Chukai, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 11.33 pagi,
mangsa Amirul Faizal Kamaruzzaman, 38, dari Kampung Tempurong di sini, maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada kepala.

Ketika kejadian, Amirul seorang pemandu lori dikatakan sedang dalam perjalanan dari Kampung Mak Chili ke Kampung Ibok.

ORANG ramai membantu mengangkat motosikal RX-Z milik Amirul Faizal Kamaruzzaman selepas terlibat dalam kenalangan di Kilometer 5, Jalan Mak Chili – Ibok di persimpangan ke Taman Desa Solehah, Chukai, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Sejurus tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun dalam perjalanan dari Desa Soleheh, Mak Chili menuju ke Bukit Kuang dikatakan ingin membuat pusingan U di persimpangan berkenaan.

Pada masa sama, sebuah motosikal Yamaha RX-Z ditunggangi mangsa di sebelah lorong kiri dikatakan telah melanggar bahagian pintu hadapan sebelah kanan kereta berkenaan.

Kejadian itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba sejurus selepas kemalangan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.

“Kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.  – Suara Timur

Related Posts