BESUT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia
11 tahun maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Axia di Kampung Bukit Kenak di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Rozaime Ab. Rahim berkata, mangsa, Wan Julaini Wan Noh maut di lokasi kejadian dalam kemalangan kira-kira pukul 11.30 malam
“Siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Modenas Dinamik yang ditunda sebuah motosikal lain akibat kerosakan.

“Ketika proses menunda motosikal tersebut, sebuah kereta jenis Perodua Axia dari arah yang sama merempuh bahagian belakang motosikal itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pelanggaran itu mengakibatkan mangsa terseret kira-kira 50 meter dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala serta anggota badan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Suara Timur
