Negeri

Pelajar tingkatan 3 meninggal dipercayai terkena jangkitan kencing tikus

BESUT: Pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di daerah ini maut dipercayai terkena jangkitan kencing tikus selepas mandi sungai di Kampung Pak Sik, Hulu Besut, kira-kira seminggu lalu.

Mangsa, Muhamad Amirul Hakim Suhaimi, 15, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Besut kira-kira 10 malam, selepas kira-kira tiga jam dimasukkan ke hospital, Isnin lalu.

Ibu mangsa, Mek Jarah Ahmad, 52, berkata dia tidak tahu anaknya dijangkiti kencing tikus sehingga menyebabkan wanita itu kehilangan anak bonsu daripada empat beradik buat selama-lamanya.

“Saya tidak tahu arwah sebelum ini pergi mandi sungai bersama rakan-rakan.

“Selepas dia meninggal (dunia) baharu saya dapat tahu, itu pun kawan-kawan dia (arwah) yang beritahu,” katanya ditemui di kediamannya di Kampung Gong Duek, di sini, hari ini.

Mek Jarah berkata, Rabu lalu, arwah mengalami demam dan menyangkakan ia hanya demam biasa memandangkan semua ahli keluarga mengalami keadaan itu.

Bagaimanapun, keadaan kesihatan arwah semakin buruk dan mengalami muntah berdarah dan beranggapan kemungkinan tekaknya luka akibat demam berlarutan.

Susulan itu katanya, dia dan suami membawa arwah ke Unit Kecemasan Hospital Besut untuk mendapat rawatan pada Isnin lalu.

“Sebelum ini, saya sudah membawa arwah anak mendapatkan rawatan di klinik swasta, namun keadaan kesihatannya tidak berubah, malah semakin teruk sebelum membawa dia ke unit kecemasan.

“Bagaimanapun, keadaan semakin kritikal dan disahkan meninggal dunia selepas beberapa jam dimasukkan ke hospital,” katanya.

Mek Jarah berkata, dia tidak menyangka arwah anak ‘pergi’ dengan cepat kerana beberapa jam sebelum itu, dia mendakwa sempat menemani arwah menunaikan solat maghrib di rumah dan bercakap dengannya sebelum membawa kanak-kanak itu ke hospital.

Katanya, dia tidak menjangka sikap arwah yang manja dan meminta masakkan nasi ayam, nasi dagang dan nasi minyak serta makanan lain adalah petanda arwah akan meninggalkan keluarga buat selama-lamanya.

“Sejak dua, tiga hari ini arwah sangat manja dan hanya mahu makan masakan air tangan saya saja,” katanya.

Jenazah Muhamad Amirul Hakim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Duek, semalam.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong ketika dihubungi berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan. – Berita Harian

Related Posts