Negara

Tertinggal dalam kereta, budak 4 tahun maut akibat strok haba

GUA MUSANG: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia akibat strok haba selepas dipercayai tertinggal di dalam kereta di Tanah Putih di sini pada Isnin.

Difahamkan, ibu bapa mangsa tidak menyedari anak bongsu daripada dua beradik itu tertinggal di dalam kereta selepas mereka keluar bersarapan pagi dan pulang semula ke rumah.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.50 petang.

Menurut beliau, mangsa ditemui tidak sedarkan diri di dalam kenderaan sebelum dibawa ke Hospital Gua Musang namun disahkan meninggal dunia.

“Hasil bedah siasat oleh Pakar Patologi Forensik mengesahkan punca kematian disebabkan strok haba (heat stroke),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Laporan Kematian Mengejut.

Choon Foo turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut bagi mengelakkan kekeliruan.

“Pihak polis menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memastikan keselamatan anak-anak di bawah jagaan berada dalam pemantauan rapi,” katanya. – Sinar Harian

Related Posts