TANAH MERAH: Kencing manis atau diabetes terus menjadi antara penyakit utama di Kelantan, malah membimbangkan apabila semakin ramai penghidapnya terdiri daripada golongan muda.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, trend semasa menunjukkan pesakit kini mula menghidap diabetes seawal usia 40 tahun.
“Dulu penyakit ini banyak menyerang warga emas, tapi sekarang kita lihat umur penghidap semakin muda.
“Ini berlaku disebabkan beberapa faktor risiko seperti berat badan berlebihan, tidak bersenam, tekanan perasaan, tabiat merokok dan pemakanan tidak seimbang,” katanya ketika ditemui dalam program Ziarah Kasih Kawasan Rukun Tetangga di Kampung Bukit Gading di sini pada Selasa.
Menurutnya, penyakit kencing manis boleh membawa kepada komplikasi serius seperti kegagalan buah pinggang, serangan jantung dan kerosakan saraf.
Dr Zaini berkata, berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), kadar penduduk dewasa di Kelantan yang menghidap diabetes ialah 16.3 peratus pada tahun 2023, berbanding 18.5 peratus pada 2015 dan 19.5 peratus pada 2019.
“Ini bermakna lebih 16 daripada setiap 100 orang dewasa di negeri ini menghidap penyakit tersebut,” katanya.
Beliau turut memaklumkan lebih 80 peratus golongan muda di Malaysia yang berumur antara 18 hingga 29 tahun tidak sedar mereka sebenarnya penghidap diabetes.
Katanya, dalam banyak kes, dua daripada lima individu hanya tahu mereka ada penyakit itu selepas menjalani pemeriksaan atau dimasukkan ke hospital akibat komplikasi.
Menurutnya, usaha menjaga kesihatan tidak boleh disandarkan kepada Kementerian Kesihatan semata-mata. – Sinar Harian