KUALA TERENGGANU: Harga ikan dijangka meningkat antara 30 peratus hingga 45 peratus berikutan perubahan cuaca Monsun Timur Laut (MTL) akhir bulan ini.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Terengganu Selatan, Mohd Razif Embong berkata, bagaimanapun, sehingga kini tiada berlaku kenaikan harga ikan, sebaliknya harga dijual secara terus oleh nelayan ‘murah doh’.
“Kebanyakan bekalan ikan diperoleh nelayan pukat jerut yang turun ke laut pada sebelah petang dan pulang keesokannya.
“Peniaga ikan juga memperoleh bekalan daripada nelayan pantai yang turun ke laut pada sebelah pagi dan pulang petang,” katanya.
Mohd Razif mengesahkan harga pelbagai jenis ikan dijangka melambung akhir bulan ini berikutan berlaku perubahan cuaca terutama ombak besar dan angin kencang.
Sementara itu, seorang pengusaha bot pukat jerut, Nordin Latiff, 58, berkata, kenaikan harga sumber protein itu berlaku jika berlaku kekurangan bekalan daripada nelayan tempatan.
Katanya, kenaikan harga tidak dapat dielakkan disebabkan peniaga ikan di pasar awam memperoleh bekalan daripada nelayan di Kedah dan Pulau Pinang.
“Apabila berlaku kekurangan bekalan ikan daripada nelayan tempatan, peniaga akan mengambil daripada nelayan di Kedah atau Pulau Pinang menyebabkan berlaku sedikit kenaikan harga.
“Bagi mengelakkan orang ramai terbeban dengan kenaikan harga, mereka boleh memperoleh bekalan dijual secara terus oleh nelayan di Pasar Nelayan diperkenalkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di jeti pendaratan di seluruh negara,” katanya.
Sementara itu, tinjauan dilakukan di Pasar Nelayan di Jeti LKIM Pulau Kambing mendapati harga ikan Selayang dijual antara RM3 hingga RM8 sekilogram (kg).
Tinjauan turut mendapati harga ikan kerisi dijual pada harga RM12 sekilogram dan kembung bersaiz sederhana RM5 sekilogram.
– Harian Metro