Politik

UMNO Terengganu sambut baik pelantikan Johari sebagai Pengerusi Pasukan Khas UMNO teliti, perhalusi RUU PSB

KUALA TERENGGANU: UMNO Negeri Terengganu menyambut baik pelantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Pengerusi Pasukan Khas UMNO bagi meneliti dan memperhalusi Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

Pengerusi UMNO Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, pihaknya percaya usaha ini amat penting dalam memastikan kebajikan rakyat, khususnya masyarakat Melayu bandar, mendapat perhatian sewajarnya.

Menurutnya, pendekatan yang menyeluruh dan inklusif akan memberikan manfaat besar bukan sahaja kepada warga bandar tetapi juga kepada pembangunan negara secara keseluruhannya.

“UMNO Terengganu tidak menolak pembangunan, apatah lagi melibatkan kepentingan masa depan orang-orang Melayu di bandar. Akan tetapi  perancangan pembangunan mesti mengambil kira setiap aspek kelangsungan hidup Melayu Islam dan Bumiputera bandar untuk jangka masa panjang agar kepentingan mereka tidak tergadai pada masa hadapan.

“Justeru, UMNO Terengganu menaruh keyakinan bahawa Konvensyen Melayu Bandar yang bakal diadakan pada penghujung bulan September akan menjadi medan terbaik untuk membincangkan isu-isu besar rakyat, menghimpunkan pandangan pelbagai pihak, serta merangka resolusi yang lebih realistik dan berkesan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Beliau berkata, UMNO Terengganu akan memberi sokongan penuh kepada segala usaha yang digerakkan oleh UMNO Pusat demi memastikan suara orang Melayu di bandar mahupun di desa terus terbela dan masa depan negara lebih terjamin.

Media hari ini melaporkan UMNO melantik Naib Presidennya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk mengetuai Pasukan Khas UMNO bagi penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) PSB.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pasukan khas itu bertanggungjawab meneliti dan memperhalusi setiap aspek RUU PSB secara terperinci sebelum dibentangkan dalam Konvensyen Melayu Bandar. – Suara Timur

Related Posts