Negara

Pemandu lori maut nahas 12 kenderaan di Pagoh

MUAR: Seorang pemandu lori maut, manakala enam yang lain cedera dalam nahas membabitkan 12 kenderaan di Kilometer 129.9 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) dekat Pagoh, pagi tadi.

Kemalangan membabitkan enam lori, lima kereta dan sebuah van itu berlaku jam 7.30 pagi mengorbankan pemandu lori berusia 39 tahun selepas dipercayai mengalami kecederaan dalaman.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila lori dipandu lelaki 48 tahun mengalami kerosakan teknikal.

“Pemandunya berhenti di lorong kecemasan, namun secara tiba-tiba lori itu mengeluarkan asap tebal.

“Akibatnya lori yang mengekori belakang terlindung asap lalu merempuhnya. Beberapa kenderaan yang turut berada di belakang merempuh sesama sendiri.

“Akibat rempuhan itu, pemandu lori tersepit di tempat duduk dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya.

Siasatan masih dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Berita Harian

Related Posts