Politik

Banyak senarai nama ahli UMNO bakal dipecat?

SEREMBAN:  Terdapat beberapa senarai nama ahli UMNO yang dicadang untuk dipecat kerana telah menjadi ahli parti lain dalam mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu, malam tadi.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, syor berkenaan telah dibawa oleh Jawatankuasa Disiplin kepada Jawatankuasa Pengurusan yang membentangkan mengenai senarai nama tersebut.

“Jawatankuasa Disiplin telah bawa banyak syor kepada Jawatankuasa Pengurusan yang membentangkan dalam mesyuarat MKT, banyak ahli parti UMNO yang telahpun dicadangkan dipecat kerana mereka telah menjadi ahli parti, parti yang berada bersama-sama dalam kerajaan.

“Ini tidak sepatutnya berlaku, tapi bagi individu tersebut dia nak masuk, itu terpulang pada dia. Tapi bagi parti dia mesti ada satu etika di antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Penyerahan Dewan Serbaguna Terbuka Berbumbung Sekolah Kebangsaan (SK) Lavender Heights, di sini hari ini.

Mengulas lanjut tanpa mendedahkan jumlah sebenar nama ahli yang telah disenaraikan itu, Mohamad menegaskan UMNO tidak pernah mencuri ahli parti lain.

“Kalau ini terjadi susahlah. Macam mana kita boleh bekerjasama dan menubuhkan kerajaan tapi masing-masing curi parti masing-masing. UMNO tak ada curi parti sesiapa,” katanya. – Kosmo

Related Posts