Negara Politik

‘Kalau tak nak saya bergaduh, jangan usik isu sensitif’ – Ketua Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR: Selepas diingatkan supaya tidak bergaduh dengan sesiapa sehingga selesai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh pula, hari ini mengingatkan semua pihak supaya tidak sesekali menyentuh isu sensitif membabitkan agama, bangsa dan institusi diraja (3R).

Muhamad Akmal yang terkenal lantang dalam menyuarakan pendiriannya walaupun terhadap rakan dalam komponen Kerajaan Perpaduan, menegaskan beliau dan Pemuda akan tetap bersuara jika isu sensitif disentuh walaupun boleh membawa kepada pergaduhan.

“Saya pun nak ingatkan kepada semua, kalau tak nak saya bergaduh, maka jangan usik perkara sensitif, sama ada daripada parti kerajaan mahu pun pembangkang.

“Sudah tentu saya akan bersuara. Siapa pun yang sentuh, kami akan tetap bersuara,” katanya kepada BH, hari ini.
Semalam, media melaporkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan Muhamad Akmal supaya mengelak daripada sebarang pergaduhan sehingga selesai PRK DUN Ayer Kuning pada 25 April nanti.

Secara berseloroh, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, berkata ia bagi memberi ruang kepada PRK berkenaan berjalan lancar dan tenang, selain parti dalam komponen itu dapat berganding bahu bagi memenangkan calon.


Muhamad Akmal, sebelum ini pernah berselisih faham dengan beberapa pemimpin dalam DAP, termasuk Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dalam isu ‘ham’ dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkaitan isu pensijilan halal.

Sementara itu, Muhamad Akmal mahu semua ahli UMNO memanfaatkan mesyuarat cawangan parti itu, yang bermula Sabtu lalu untuk terus memperkukuh perjuangan UMNO.
– Berita Harian

Related Posts