KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang memberi amaran tegas terhadap peniaga yang didapati menjual telur penyu di negeri itu.
Pengarahnya Roslan Abu Hasan berkata, hasil siasatan mengesan wujud kegiatan penjualan telur reptilia itu di bandar raya ini dan tindakan susulan sedang dilakukan.
Menurutnya, setakat ini pihaknya mengenal pasti sebuah gerai menjual telur penyu berkenaan.
“Kami sudah mengambil keterangan dan memberi amaran kepada peniaga terbabit supaya segera menghentikan penjualan telur penyu itu.
“Peniaga dan pembeli perlu mempunyai kesedaran haiwan itu terancam dan sebarang aktiviti membabitkan reptilia itu perlu dielakkan,” katanya selepas memeriksa sebuah premis menjual telur penyu, di sini, hari ini.
Roslan berkata, berdasarkan siasatan awal, 10 biji telur penyu dijual pada harga RM70 dan peniaga mendakwa bekalan dihantar pembekal dari Terengganu.
“Jabatan sedang mengesan pembekal dan lokasi mereka mendapatkan telur penyu itu,” katanya memaklumkan pihaknya meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi membendung perbuatan terbabit.
Katanya, perbuatan mengganggu, menangkap, mengambil dan memusnahkan habitat penyu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perikanan 1985, sabit kesalahan boleh didenda hingga RM20,000.
Ahad lalu, tiga lelaki dikesan mengusung penyu ke lubang siap digali untuk memaksa haiwan itu bertelur berhampiran pantai di pusat konservasi dan penerangan penyu, di Cherating, di sini.
Hingga kini, tiga suspek termasuk seorang lelaki berusia 51 tahun disahkan positif dadah ditahan dan mereka disyaki terbabit dengan kegiatan mencuri telur penyu di sekitar pantai tumpuan pendaratan haiwan itu. – Metro