KAJANG: Berang ditegur guru kerana ponteng kelas dipercayai punca pelajar tingkatan dua mengugut dan menumbuk gurunya di sebuah sekolah menengah, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, guru lelaki berusia 29 tahun berkenaan membuat laporan berhubung kejadian pada 7.15 malam.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca apabila pelajar itu ponteng kelas pendidikan jasmani yang sepatutnya berada di padang sekolah, dan dia ditegur guru berkenaan.
“Perkara itu membuatkan suspek tidak berpuas hati lalu berlaku pergelutan antara mereka sehingga suspek mula mengugut dan menumbuk muka gurunya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kejadian itu turut disaksikan oleh beberapa guru dan pelajar lain, malah turut tular di media sosial.
Katanya, pelajar lelaki berusia 14 tahun itu ditahan semalam di sekitar Kajang dan direman dua hari sehingga esok.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan, dimana jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-dua sekali.
“Bagi Seksyen 506 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara sehingga tempoh dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Mengulas lanjut, Naazron berkata, kertas siasatan sudah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya dan mendapat arahan untuk pertuduhan di Mahkamah Kajang esok.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Amirul Wahid di talian 0135495236 bagi membantu siasatan.
Terdahulu tular di media sosial satu klip video berdurasi 38 saat memaparkan pertengkaran antara dua individu bertubuh kecil dan lebih besar, malah kelihatan salah seorang daripadanya menumbuk pipi seorang lagi. – Berita Harian