Negara

Penganjur pertemuan gay di banglo sedia jumpa TMB Kelantan

KOTA BHARU – Persatuan Perantaraan Pesakit Kelantan (Sahabat) sudah menghantar surat kepada Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan untuk mengadakan pertemuan berhubung penganjuran program pencegahan virus kurang imun (HIV) yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Sahabat dalam satu kenyataan berkata, pertemuan itu bertujuan menjernihkan segala kekeliruan yang timbul berhubung penganjuran program tersebut telah dijadualkan.

Menurutnya, Sahabat amat menghargai keterbukaan Timbalan Menteri Besar Kelantan dan pihak kerajaan negeri untuk mendengar penjelasan berhubung perkara tersebut.

“Selain kerajaan negeri, Sahabat yang menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan Majlis AIDS Malaysia sedia mengadakan pertemuan dengan pihak polis.

“Pertemuan itu penting dalam membina hubungan persefahaman yang kukuh demi kesejahteraan komuniti,” katanya kenyataan itu.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri Kelantan bersedia untuk berjumpa dengan pihak penganjur pertemuan lelaki songsang di sebuah banglo di Kemumin, Pengkalan Chepa di sini bagi mendapatkan penjelasan sebenar penganjuran acara tersebut.

Mohamed Fadzli berkata, selain itu, pertemuan dengan pihak polis juga penting agar tidak berlaku salah faham dan siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Terdahulu, polis mengesahkan perjumpaan di sebuah banglo tiada penglibatan atau penganjuran daripada badan rasmi seperti pertubuhan bukan kerajaan, klinik kesihatan atau KKM.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat menegaskan, tiada sebarang maklumat yang menunjukkan program itu mendapat kelulusan atau pemantauan daripada mana-mana pihak berautoriti.

Menurutnya, tindakan pihak polis adalah berasaskan maklumat risikan dan bukti yang sah tanpa sebarang niat diskriminasi. – Kosmo

Related Posts