KOTA BHARU: Berbaki dua hari lagi majlis perkahwinan akan berlangsung, seorang anggota bomba, Mohd Kasyfi Remali dijemput Ilahi pagi tadi.
Mohd Kasyfi, 42, yang bertugas di Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan meninggal dunia jam 11.57 pagi tadi di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian akibat komplikasi tiroid yang menyebabkan tekanan darah tinggi.
Segala persiapan untuk kenduri sudah dibuat dan lebih 500 tetamu dijemput bagi memeriahkan majlis perkahwinan kedua Mohd Kasyfi yang kematian isteri pada Ogos tahun lalu akibat kanser payudara.
Menurut bakal isterinya, Zabida Jusoh, 40, perasaan yang dialaminya kini bercampur baur antara sedih dan tidak percaya sudah kehilangan Mohd Kasyfi yang dikenalinya sejak empat bulan lalu.
“Menjelang hari perkahwinan, saya menyedari dia (Mohd Kasyfi) sangat teruja dan kami akan dinikahkan pada Jumaat malam nanti manakala kenduri pula berlangsung keesokan harinya.
“Tapi kini semuanya musnah dan melihat segala persediaan yang dibuat termasuk hantaran serta perkakas memasak di dapur, hati saya sangat remuk,” katanya ketika ditemui di Kampung Sering di sini, hari ini.
Zabida berkata, dua persalinan pakaian pengantin dan pelamin juga sudah ditempah namun impian itu tidak kesampaian malah dia belum lagi memaklumkan pembatalan kepada butik berkenaan.
Katanya lagi, arwah tidak pernah memberitahu mempunyai sebarang penyakit cuma ketika menghadiri pemeriksaan HIV dua minggu lalu, doktor memaklumkan tekanan darahnya agak tinggi namun tidak menyatakan sama ada perlu menjalani rawatan susulan atau tidak.
“Ketika kejadian dua hari lalu, kami berdua baru pulang menempah kek perkahwinan dan arwah memilih kek coklat kerana teringin untuk makan sebelum kami singgah di sebuah restoran untuk membeli nasi.
“Ketika ingin membayar wang, tangan kirinya kelihatan terketar-ketar dan mengadu pening sebelum masuk ke kereta. Keadaan makin serius dan dia terus dibawa ke hospitall,” katanya sambil memberitahu arwah sempat menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala sebelum terus ditidurkan.
Menurut Zabida lagi, walaupun tempoh perkenalan mereka singkat tapi Mohd Kasyfi sering berbual mengenai hasrat untuk sama-sama membesarkan enam anak iaitu masing-masing tiga cahaya mata hasil dari perkahwinan terdahulu.
Zabida berkata, arwah sering mengeluh mengenai kesukaran menguruskan tiga anak berseorangan tambahan pula kerjanya juga membabitkan shif yang adakalanya terpaksa meletakkan mereka di rumah adik beradik yang berdekatan.
“Kami berdua pun sudah rapat dengan anak masing-masing dan saya sangat terkejut dengan pemergiannya walaupun ketika mendapatkan rawatan, masih berharap ada keajaiban namun Allah lebih menyayanginya,” katanya sambil memberitahu jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Sering, di sini.
Turut hadir menziarah ialah Timbalan Pengarah JBPM Kelantan, Aswafaizole Abdul Wahab yang menyampaikan sumbangan. – Harian Metro