Mahkamah dan Jenayah

Pelajar tingkat dua MRSM Besut didera di asrama

BESUT: Seorang pelajar tingkatan dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini mendakwa didera oleh lima pelajar tingkatan tiga semasa berada di asrama MRSM tersebut pada pukul 11.30 malam, 24 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, pelajar berusia 14 tahun itu mendakwa diarahkan membuat kedudukan separa mencangkung dan ditumbuk di perut dan ditampar di muka oleh pelajar-pelajar terlibat.

Menurutnya, susulan kejadian itu, mangsa telah mengalami kecederaan sakit di perut dan rusuk sebelah kanan serta kesan lebam di belakang.

“Kejadian tersebut disedari oleh warden yang bertugas dan membawa mangsa dan kesemua suspek ke pejabat.

“Warden itu juga menghubungi penjaga mangsa untuk membawa mangsa ke hospital  untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azamuddin memberitahu, pelajar tersebut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)  Besut pukul 6.48 petang, semalam.

Tambahnya, lima suspek tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – Suara Timur

Related Posts