Mahkamah dan Jenayah

Parkir kereta dekat pintu sempadan ‘sembunyi’ bunga ganja kering RM2 juta

PADANG BESAR: Pemeriksaan ke atas sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan berhampiran pintu sempadan Malaysia-Thailand di Jalan Sadao, di sini membongkar penemuan 40 bungkusan bunga ganja bernilai lebih RM2 juta.

Pemeriksaan dilakukan anggota kastam Perlis kira-kira jam 11.30 pagi pada 19 Jun lalu selepas curiga dengan kewujudan kereta jenis Proton Saga dengan nombor pendaftaran tempatan itu di lokasi berkenaan.

Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata pemeriksaan menemukan beberapa bungkusan plastik hitam di bawah kereta itu, selain dua beg galas yang diletakkan di tempat duduk penumpang belakang.

“Siasatan lanjut ke atas bungkusan plastik hitam dan beg itu kemudian membongkar penemuan 40 bungkusan plastik lutsinar kedap udara berisi tumbuhan kering disyaki bunga ganja.

“Kita anggar berat keseluruhan ganja 22.855 kilogram (kg) dan bernilai RM2,285,500. Kita percaya kereta ini baharu sahaja diletakkan di situ sekitar sejam oleh sindiket untuk dibawa masuk ke Malaysia dari negara jiran,” katanya ketika sidang media hari ini.

Ismail berkata, modus operandi sindiket adalah menyeludup bekalan ganja dari Thailand dan meninggalkannya bersama kereta berhampiran pintu sempadan sebelum diambil individu lain untuk dibawa masuk ke negara ini.

Beliau berkata, sindiket menjadikan Perlis transit untuk membawa masuk bekalan ganja yang kemudian dipercayai akan dibawa dan dipasarkan ke seluruh negeri di Semenanjung.

“Semakan rekod terhadap kereta mendapati ia didaftarkan atas nama seorang wanita berusia 66 tahun yang tinggal di Padang Besar, namun siasatan lanjut mendapati wanita berkenaan tidak boleh kenderaan itu dan disyaki disalah guna anaknya yang berusia 39 tahun untuk membawa bekalan ganja.

“Berdasarkan siasatan, harga sekilogram bunga ganja dirampas itu boleh mencecah RM100,000 dan ia lazim digunakan untuk mengekstrak minyak untuk tujuan seperti perubatan, namun ia masih di peringkat awal siasatan kita,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya jumlah bunga ganja dirampas itu boleh menampung permintaan sekitar 114,000 penagih dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Berita Harian

Related Posts