Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Geng Plastik Ija (GPI) dengan kerjasama Asnaf Care, INEOS PCG Acetyls Sdn. Bhd. dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) berganding bahu menganjurkan program Pasar Percuma dan ‘TrashTo Cash’ di Dewan Sivik Kerteh di sini, baru-baru ini.
Pengerusi GPI, Zulkefli Sarji berkata, sebanyak 4.5 tan barangan kitar semula pelbagai kategori seperti kotak, kertas, plastik berjaya dikumpul dalam tempoh empat jam pada program tersebut.
Katanya, minyak masak terpakai kira-kira 1.3 tan juga berjaya dikumpul untuk dikitar semula sebagai bio-diesel.

“Dua program yang bertujuan menjaga kelesatarian alam dengan menggalakkan usaha ReUse (Guna Semula) dan Recycle (Kita Semula),” katanya kepada Suara Timur, hari ini.
Beliau berkata, barangan kitar semula yang dikumpul itu akan dijual dan hasil diperoleh
akan digunakan bagi menampung aktiviti GPI pada masa hadapan.
“Melalui Pasar Percuma, barangan yang disumbangkan oleh komuniti setempat dikongsikan secara percuma kepada sesiapa yang memerlukan.

“Barang yang tidak lagi digunakan atas sebab sebab tertentu, ianya dapat dikongsi dan digunakan oleh pihak yang lain,” katanya.
Menurut Zulkefli, pada setiap minggu, GPI membuat aktiviti gotong-royong membersih pantai seluruh negeri Terengganu terutama di kawasan tumpuan orang ramai.

“GPI bermula pada November 2017 di pantai Kuala Kertih apabila beberapa sukarelawan melakukan aktiviti gotong-royong membersih pantai ini dengan mengutip sampah-sampah bawaan air serta sampah ditinggalan pengunjung.
“Pada masa ini, GPI mempunyai lebih daripada 1,100 orang sukarelawan yang berdaftar,” ujarnya. – Suara Timur