BESUT: Suasana hiba dan sayu menyambut ketibaan rombongan konvoi 13 jenazah penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di pekarangan Masjid Hadhari, Jertih.
Konvoi van yang membawa jenazah dari Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Perak, tiba di pekarangan masjid pada 2.55 pagi tadi dan selesai disembahyangkan pada 3.15 pagi.
Malam semalam, lokasi ini menjadi tempat mereka berkumpul sebelum berpisah dengan keluarga untuk menaiki bas pulang ke universiti demi menuntut ilmu.
Malam ini, mereka sekali lagi dikumpulkan namun kepulangan mereka ke kampung halaman sebagai jenazah dan perpisahan kali ini adalah perpisahan yang abadi.
Orang ramai mula berkumpul seawal jam 12 malam menunggu ketibaan konvoi yang bergerak dari Ipoh, Perak.
Seramai lebih 3,000 orang melaksanakan solat jenazah yang diimamkan Exco Penerangan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Beberapa ahli keluarga dilihat tidak dapat menahan sebak melihat ahli keluarga mereka dibawa masuk ke kawasan masjid untuk dibawa ke dewan Masjid Hadhari bagi solat jenazah.
Semua jenazah akan dikebumikan di kampung masing-masing pagi ini.
Ramai penduduk datang memberi penghormatan terakhir kepada mangsa yang terkorban dalam nahas itu dan melahirkan rasa terkejut dengan kejadian menimpa semua mangsa.
Terdahulu dua jenazah pelajar iaitu Muhammad Adib Azim Halim, 21, selamat dikebumikan di Perkuburan Islam Kampung Pasir Badak, Hulu Besut manakala Wan Nur Suhaila Wan Mohammad, 22, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Amer, Kampung Raja, Besut.- – Harian Metro