Mahkamah dan Jenayah

Kanak-kanak dua tahun maut terjatuh dari tingkat tujuh

PUTRAJAYA – Seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh sebuah apartment perumahan awam Presint 9 di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan daripada seorang doktor di wad kecemasan Hospital Putrajaya berkaitan mangsa berumur dua tahun dibawa oleh bapanya dalam keadaan berlumuran darah.

“Pemeriksaan lanjut dijalankan mendapati mangsa telah meninggal dunia.

“Siasatan awal mendapati kanak-kanak terbabit dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh sebuah unit perumahan awam di Presint 9,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, bedah siasat terhadap mangsa akan dijalankan pada Ahad.

“Kes masih dalam siasatan lanjut,” katanya.

Terdahulu, tular hantaran di media sosial berkaitan dakwaan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh sebuah perumahan awam di sini.

Menurut hantaran terbabit, mangsa didakwa memanjat sofa yang diletakkan di salah sebuah tingkat di apartment itu sebelum terjatuh. – Sinar Harian

Related Posts