Mahkamah dan Jenayah

Geng Apan Sungai Petani aktif curi kabel kecundang di Marang

MARANG: Polis menumpaskan ‘Geng Apan Sungai Petani’ yang dipercayai aktif dalam kegiatan mencuri kabel telekomunikasi bawah tanah milik sebuah syarikat telekomunikasi di sebuah inap desa di Kampung Baru Rhu Muda di sini, 8 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Marang Superintendan Mohd Sofian Redzuan berkata, semua suspek berusia 22 hingga 43 tahun yang menyamar sebagai pekerja di sebuah syarikat kontraktor komunikasi itu ditahan jam 10 pagi.

Menurutnya, kehadiran kesemua suspek sebelum itu dikesan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Marang dan Ibu Pejabat Polis (IPD) Machang kira-kira jam 5.30 pagi di Kampung Sungai Kerak.

Beliau berkata, anggota yang sedang melakukan pemantauan mengesan kehadiran dua buah kereta jenis Perodua Alza dan Axia yang dinaiki suspek sedang memotong kabel-kabel berkenaan sebelum dibawa masuk ke dalam kenderaan dan meninggalkan lokasi kejadian.

“Anggota kemudian mengekori kedua-dua kenderaan yang bergerak ke sebuah inap desa dan menyerbu premis berkenaan kira-kira jam 10 pagi.

“Kita berjaya menahan 12 lelaki dan pemeriksaan menemui pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kabel seperti kuku kambing, tukul, alat pemotong label dan alat pembuka penutup lurang (manhole) serta kabel yang dicuri bernilai RM20,000,” katanya pada sidang media di IPD Marang di sini hari ini.

Mohd Sofian berkata, siasatan mendapati kumpulan berkenaan menyamar sebagai pekerja di sebuah syarikat kontraktor komunikasi ketika melakukan jenayah berkenaan bagi mengaburi pihak berkuasa selain menggunakan kereta sewa untuk melakukan jenayah berkenaan.

Katanya, semua suspek yang berasal dari Kedah dan Pulau Pinang mempunyai pelbagai rekod lampau jenayah dan dadah dengan 10 daripadanya positif dadah jenis methamphetamine.

“Kumpulan yang aktif sejak 2014 itu diketuai suspek berusia 30 tahun dengan kebanyakan mereka bekerja sendiri dan mekanik yang mempunyai pelbagai kemahiran.

“Malah, seorang daripada mereka adalah bekas pekerja di sebuah syarikat kontraktor telekomunikasi selain ada yang bekerja di sebuah syarikat pesisir pantai.

“Hasil soal siasat mereka mengaku terbabit dalam 14 kes curi kabel secara terancang berskala besar iaitu lima di Kedah, Pulau Pinang (empat kes), Perlis (tiga kes) Terengganu dan Kelantan masing-masing satu kes.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya. – Harian Metro




Related Posts