KUALA LUMPIR: Selepas kembali dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) beberapa bulan lalu, Donald Trump begitu banyak menimbulkan huru-hara kepada dunia bermula dengan tindakannya terhadap rakyat Palestin.
Terbaharu, pasaran saham global kembali bergolak susulan kebimbangan terhadap langkah AS menaikkan tarif import, sekali gus memberi tekanan kepada sentimen pelabur terutamanya di Asia dan rantau ASEAN.
Kesan sama turut dirasai di negara ini apabila Bursa Malaysia menunjukkan indeks petunjuk utama susut 4.01 peratus pada akhir dagangan pada Isnin.
Penyusutan ketara turut melanda Indeks Hang Seng Hong Kong yang merosot 13.22 peratus untuk ditutup pada paras 19,828.30, manakala Nikkei 225 Jepun turun 7.83 kepada 31,136.58.
Penurunan itu berlaku susulan tindakan China mengenakan tarif balas terhadap AS yang mencetuskan kebimbangan terhadap potensi perang dagang besar-besaran yang boleh menjerumuskan ekonomi global ke arah kemelesetan.
Situasi yang berlaku ini sudah pasti mengundang kebimbangan ramai mengenai kedudukan ekonomi negara dalam tempoh terdekat ini.
Malah, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut memaklumkan, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diumumkan kerajaan pada kadar antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus tahun ini akan dikaji semula susulan kesan tarif timbal balas yang dikenakan AS dijangka memberi impak meluas.
Kini, menjadi harapan besar seluruh rakyat Malaysia untuk melihat kerajaan mengambil langkah-langkah perlu untuk membolehkan negara mengharungi cabaran ini dengan kekuatan. – Sinar Harian