Negara

Nasib baik saya sempat sumbat botol dalam mulut harimau, kalau tak…

SEREMBAN: Pemandu lori yang diserang harimau kumbang ketika berhenti di Bukit Tangga, di sini, Khamis lalu masih terbayang saat diterkam haiwan liar berkenaan.

Bagaimanapun, A Suresh, 54, bersyukur kerana harimau berkenaan berhenti menyerangnya kerana terdengar bunyi enjin kenderaan lain dan hanya mengalami cedera akibat cengkaman kuku.

Suresh yang dibenarkan keluar dari Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, semalam berkata, dia terpaksa menerima lebih 30 jahitan di kepala dan masih trauma dengan kejadian itu.

“Saya dibenarkan keluar dari hospital selepas tiga hari menerima rawatan. Saya bersyukur kerana haiwan itu hanya cengkam badan, namun mengakui masih trauma.

“Sampai sekarang saya tidak dapat tidur nyenyak kerana terbayang-bayang harimau itu menerkam. Saya tidak tahu dari mana ia datang, tapi memang mengejutkan dan menakutkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bercerita lanjut, lelaki yang tinggal di Klang, Selangor itu berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menghantar makanan ayam di Jelebu.

“Saya berhenti di lokasi kerana mahu memeriksa keadaan lori dan membuang air kecil. Ketika mahu cuci tangan, harimau itu lompat ke atas saya dan cuba menggigit kepala, tapi sempat masukkan botol air ke dalam mulutnya.

“Kalau tak, sudah tentu saya sudah mati dan luka di kepala saya pun disebabkan cengkaman kukunya sahaja,” katanya.

Jelas bapa kepada dua anak itu, dia bernasib baik kerana ada kenderaan lain yang berhenti di hadapan dan membantunya menghubungi ambulans.

“Jadi, saya nasihatkan pemandu lori dan pengguna jalan raya supaya berwaspada ketika melalui jalan itu dan berhenti di kawasan yang selamat. Sepanjang enam tahun saya berulang alik ke Jelebu, tidak pernah saya nampak harimau kumbang di lokasi itu.

“Pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ada datang melawat saya di hospital dan mereka beritahu harimau yang menyerang saya dianggarkan seberat 80 ke 90 kilogram (kg),” katanya.

Suresh yang sudah 25 tahun bekerja sebagai pemandu lori juga tidak menyangka kejadian itu tular di media sosial dan disebabkan itu pelbagai pihak yang datang melawatnya di hospital.

Sebelum ini, media melaporkan tular satu klip yang merakam seekor haiwan berwarna hitam menyerang seorang lelaki di tepi jalan sebelum melarikan diri ke seberang jalan. – Berita Harian

Related Posts