SHAH ALAM – Orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam membeli lembu atau kambing yang dijual pada harga terlalu murah.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, harga daging yang terlalu murah mendorong kepada pembongkaran kes penemuan dadah yang disorok dalam timbunan najis lembu.
Ujarnya, lebih 80,000 ekor lembu telah diseludup masuk ke negara ini menerusi laporan awal yang diterimanya beberapa bulan lalu.
“Berhati-hatilah apabila membeli lembu atau kambing yang dijual pada harga terlalu murah. Jangan kerana hendak jimat RM10, kita tanpa sedar menyokong aktiviti jenayah yang boleh merosakkan negara,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.
Pada Khamis, taktik licik satu sindiket dadah yang menyembunyikan puluhan kilogram pil kuda di bawah najis lembu terbongkar apabila polis melakukan enam serbuan di sekitar Pasir Mas dan Tumpat, minggu lalu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, sindiket yang dipercayai aktif sejak tiga tahun lalu itu berjaya ditumpaskan menerusi operasi pada 27 Jun, dengan penahanan enam suspek tempatan berusia 25 hingga 39 tahun, termasuk seorang wanita.
Menurut Mohamad, perkara tersebut tidak mengejutkan memandangkan siasatan awal, terutama di negeri yang bersempadan dengan Thailand, menunjukkan terdapat unsur penyelewengan yang mencurigakan.
“Ini bukan sahaja satu ancaman kepada pendapatan penternak tempatan, malah membahayakan industri ternakan negara secara keseluruhan.
“Lembu-lembu seludup ini tidak melalui sebarang proses kuarantin atau pemeriksaan kesihatan, dan berisiko membawa penyakit berjangkit yang boleh merebak kepada ternakan tempatan.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah membongkar kes ini dan menahan mereka yang terlibat,” ujarnya.
Selain itu, Mohamad turut mengulas berhubung pelantikan Datuk Mohd Suhaily Mohd Zain sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) pada Khamis.
Katanya, pelantikan itu diyakini akan memperkukuhkan lagi usaha negara membanteras penyeludupan di sempadan.
“Pengalaman dan ketegasan beliau dalam bidang keselamatan akan menjadi aset penting dalam menyekat kegiatan haram yang selama ini menjejaskan keselamatan makanan negara serta kesejahteraan rakyat,” menurutnya. – Sinar Harian