Negeri

Larangan aktiviti ‘busking’, hormat bulan Ramadan

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Kerajaan negeri mendakwa larangan aktiviti persembahan ‘busking’ atau muzik jalanan atau ‘busking’ pada 10 malam terakhir Ramadan di negeri ini dikuatkuasakan selepas menerima banyak rungutan daripada pelbagai pihak berhubung aktiviti itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata,
larangan aktiviti persembahan muzik jalanan itu bukan bertujuan menyekat punca rezeki golongan tersebut.

Sebaliknya, beliau berkata, tindakan itu diambil untuk menghormati 10 hari terakhir bulan Ramadan.

“Kita tidak ada niat untuk menyekat sesiapa mencari rezeki, tetapi apabila hal ini menjadi isu yang menimbulkan keresahan rakyat, maka tindakan perlu diambil sebagai penyelesaian. 

“Walaupun ada antara mereka yang mematuhi prosedur, ada juga beberapa persembahan yang dikatakan agak keras dengan muzik yang kuat dan kurang sesuai di bulan Ramadan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Peliter @ Perasing di Hentian Rehat dan Rawat Perasing, di sini, malam tadi.

Pada program itu, Razali turut bertemu dan mendengar rugutan  daripada beberapa wakil Persatuan Buskers Terengganu. 

Larangan aktiviti tersebut hanya dikuatkuasakan selama 10 hari bermula Khamis lalu hingga 30 Mac ini.

Razali berkata, kerajaan negeri juga akan mengadakan perjumpaan dengan wakil buskers bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung isu itu dalam masa terdekat.

“Selepas hari raya, aktiviti ini dapat diteruskan seperti biasa dan mungkin kita akan bincang SOP yang lebih baik untuk bulan Ramadan akan datang.

“Persatuan dan kumpulan pemuzik jalanan ini juga perlu melihat semula apa yang dikatakan busking termasuk alat yang digunakan. Busking ini muziknya tidak kuat dan muzik itu hanya boleh didengari di sekitar kawasan itu sahaja dan bukannya berbentuk ‘live band’,” katanya. – Suara Timur

Related Posts