Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Akibat terpedaya tawaran kerja yang tidak wujud, seorang suri rumah di daerah ini mengalami kerugian sebanyak RM50,550.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli, berkata, wanita berusia 47 tahun itu telah tertarik dengan sebuah iklan di laman sosial yang menawarkan kerja dengan komisen lumayan pada 3 Mac lalu,
“Mangsa kemudian telah berurusan dengan suspek iaitu seorang wanita berbangsa Cina melalui aplikasi WhatsApp untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai tawaran itu.
“Mangsa telah diberikan tugasan iaitu perlu membuat bayaran beberapa tempahan hotel secara dalam talian dengan nilai tempahan berbeza dan dijanjikan komisen antara empat hingga 10 peratus,” katanya kepada pemberita semalam.
Mohd. Razi berkata, mangsa kemudiannya telah membuat 24 kali pindahan wang secara atas talian ke 22 akaun berbeza bermula 5 Mac hingga 14 Mac dengan jumlah RM50,5000.
“Mangsa mula menyedari dia tertipu selepas tidak menerima sebarang komisen yang dijanjikan, susulan itu mangsa membuat laporan di Balai Polis Chukai, semalam,” ujarnya.
Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Suara Timur