Mahkamah dan Jenayah

Penjawat awam direman bantu siasatan rasuah RM3,000

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan reman seorang penjawat awam kerana disyaki menerima rasuah  berjumlah kira-kira RM3,000 sebagai balasan mendaftarkan pusat jagaan milik sebuah syarikat.

Majistret Noor Mazrinie Mahmood mengeluarkan perintah reman selama lima  bermula hari ini sehingga 14 Mac depan  terhadap suspek lelaki berusia 30an selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Menurut sumber, suspek telah ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu di sini, kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara Julai hingga September 2023.

“Suspek juga disyaki menerima suapan melalui transaksi pindahan ke akaun bank miliknya,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa buah pusat jagaan lain akan turut dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan. – Utusan

Related Posts